Aug 12, 2014

SARAWAK BAKAL JADI LOKASI POPULAR AKTIVITI SELAM SKUBA

SARAWAK BAKAL JADI LOKASI POPULAR AKTIVITI SELAM SKUBA

 

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2014 - Enam pakej menyelam skuba yang telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia bakal menjadikan Sarawak sebagai syurga bagi para penyelam skuba. Pakej "Sarawak Adventure Dive" 2014/2015 ini telah dilancarkan pada program Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair yang berlangsung di Kompleks Beli-belah Mid Valley di sini, hari ini.

 

Pembangunan pakej ini adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Sarawak dengan empat buah agensi pelancongan yang terdiri daripada Borneo Exploration Tours & Travel Services, dan CPH Travel Agencies yang berpusat di Kuching serta Minda Nusantara Tour & Travel Agencies, dan Planet Borneo Tours & Travel Services yang terletak di Miri.

 

Enam pakej menyelam yang ditawarkan sehingga Disember 2015 ini adalah seperti berikut:-

  • Wreck Dives (Kuching) - Pakej 4 hari 3 malam dari RM1,860 - RM2,400 seorang (minimum empat orang tanpa peralatan).
  • Dive Package 1 (Kuching) - Pakej 3 hari 2 malam bermula dari RM719 seorang.
  • Dive Package 2 (Kuching) - Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM1,132 seorang.
  • Dive Miri - Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM850 - RM1,350 seorang (minimum dua orang).
  • Miri Dive Holidays - Pakej 5 hari 4 malam dari RM1,080 - RM1,450 seorang.
  • Miri Dive & Stay Package @cocohouse - Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM748 seorang.

 

Lokasi Menyelam di Kuching

Bangkai kapal Perang Dunia Ke-2 berhampiran Santubong menjadi lokasi pilihan bagi para peminat aktiviti selam skuba dari dalam dan luar negara kerana keseronokkan menerokai sisa-sisa kapal perang Jepun seperti Katori Maru, Hisyoshi Maru dan Sagiri.   

 

Bangkai-bangkai kapal tersebut turut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin kerana menjadi pelindung kepada hidupan marin di kawasan tersebut. Kedalaman sekitar bahagian bawah kapal-kapal karam tersebut ialah 22 meter dan boleh dianggap mudah untuk diterokai.

 

Selain aktiviti menyelam, pelbagai aktiviti lain turut boleh dilakukan seperti  melawat Kampung Budaya Sarawak, Pusat Pemulihan Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako ataupun menerokai khazanah alam lain seperti Gua Sireh & Gua Sebayan di Bau.

 

Lokasi Menyelam di Miri

Miri merupakan antara destinasi terawal di Sarawak yang telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk aktiviti menyelam. Terdapat kira-kira lebih daripada 30 lokasi menyelam di sekitar perairan Miri. Jarak penglihatan dalam air ialah dari 10 meter sehingga 30 meter dan musim yang terbaik untuk menyelam di Miri ialah dari bulan Mac hingga September ataupun November bergantung pada keadaan cuaca.

 

Selain kawasan menyelam semulajadi, Miri juga mempunyai lima kawasan menyelam kapal karam. Antara lokasi menyelam yang tercantik di Miri ialah kawasan tukun tiruan yang dinamakan Kenyalang Wreck. Ia telah dibangunkan melalui projek usahasama antara Shell dengan Petronas kira-kira tujuh tahun yang lalu. Lokasi menyelam lain yang boleh diterokai termasuklah Anemone Garden, Siwa Reef dan Hawa Reef.

 

Usaha membangunkan pakej "Sarawak Adventure Dive" 2014/2015 ini merupakan kesinambungan daripada program "Product Introduction & Packaging - Kuching Adventure Dive" yang telah dianjurkan oleh Tourism Malaysia Sarawak pada tahun 2013 di Kuching, Sarawak.

 

Program tersebut  telah berjaya menarik perhatian Menteri Pelancongan Sarawak YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari sehingga mendorong beliau untuk membuat lawatan ke tapak menyelam Katori Maru Wreck di Santubong pada 24 Mei 2014.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej tersebut, sila hubungi, Tourism Malaysia Sarawak di talian +082-246575 atau e-mel mtpbkch@tourism.gov.my.

 

                                                                         -TAMAT-             

 

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

 

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

 

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia". Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.           

 

 

 

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:

Puan Hazrina Azman, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi dan Publisiti

Tel: +603-8891 8755

Emel: hazrina@tourism.gov.my

 

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti

Tel: +603-8891 8759

Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use