Apr 10, 2025

MISI GALAKAN PELANCONGAN TOURISM MALAYSIA TEMBUSI EMPAT BANDAR UTAMA DI INDONESIA

JAKARTA, 10 April 2025 – Tourism Malaysia menganjurkan Misi Galakan Pelancongan ke empat bandar utama di Indonesia iaitu Medan, Yogyakarta, Jakarta, dan Surabaya bermula hari ini hingga 18 April 2025. Misi Galakan Pelancongan kali ini disertai oleh 24 pemain industri yang terdiri daripada syarikat pengendali pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan pengusaha hotel dari Malaysia yang akan dipertemukan dengan penggiat industri pelancongan dari Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam industri ini.

Inisiatif strategik ini dilaksanakan seiring dengan pelancaran kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta sokongan ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia berkata, “Pasaran Indonesia kekal sebagai salah satu negara di Asia Tenggara yang tersenarai dalam lima pasaran utama penyumbang tertinggi ketibaan pelawat ke Malaysia. Misi ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bersempena kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.”

Misi ini turut melibatkan penganjuran seminar dan sesi business-to-business (B2B) bersama persatuan pelancongan utama Indonesia seperti Asosiasi Travel Agen Indonesia (ASTINDO), Asosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA), serta Asosiasi Pelaku Pariwisata Indonesia (ASPPI) dengan memperkenalkan kepelbagaian tawaran pelancongan ke Malaysia. Selain menjadi pemangkin dalam menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia ke Malaysia, program ini juga mengukuhkan manfaat ekonomi jangka panjang bagi sektor pelancongan kedua-dua negara. Selain itu, Tourism Malaysia juga akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri pelancongan utama Indonesia, termasuk syarikat penerbangan dan Online Travel Agencies (OTA) seperti Tiket.com dan Traveloka.

Jumlah ketibaan pelawat Indonesia ke Malaysia seramai pada tahun 2024 adalah 4,145,127 orang peningkatan sebanyak 19.1% berbanding tahun 2023 dan 6.8% berbanding 2019. Sehingga Mac 2025, terdapat 580 penerbangan mingguan dari Indonesia ke Malaysia dengan 106,134 tempat duduk tersedia setiap minggu.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.

Penganjuran kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Georgina M. Abas
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia Tenggara)
georgina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8252

Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775

Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use