Sep 12, 2014

MALAYSIA ISLAMIC ARTS & TOURISM SOUQ 2014 PERKENAL KONSEP PELANCONGAN DAN SENI ISLAM

SHAH ALAM, 10 September 2014: Tourism Malaysia Selangor dengan kerjasama pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Pusat Pelancongan Islam serta Yayasan Restu akan menganjurkan Malaysia Islamic Arts & Tourism Souq (MIATS) bertempat di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam pada 18-21 September 2014. Program berbentuk pelancongan dan seni Islam ini akan diadakan selama 4 hari bermula dari 9.00 pagi hingga 10 malam.

Acara MIATS 2014 ini bakal dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj Baharom (B) dan akan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan YB Datuk Haji Ahmad Haji Maslan.

MIATS 2014 ialah acara yang berkonsepkan mesra Muslim dan akan menjadi platform terbaik untuk para pengunjung mempelajari dan memahami mengenai pelancongan dan Islam melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan seperti pameran pelancongan mesra Muslim, forum Islam dan Pelancongan yang akan dikendalikan oleh para pendakwah terkenal, jualan mega bazar, acara berbasikal Shah Alam City Ride, majlis 1,000,000 selawat, pameran Malaysia Islamic Contemporary Arts Tourism (MICAT) dan lain-lain aktiviti yang boleh disertai oleh para pengunjung.

Acara ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti JAIS, Halal Development Centre, Darul Jenazah, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Pertubuhan Pembangunan Nadi Malaysia, Persatuan Pencinta Jawi Selangor, Akademi Kaligrafi dan Jawi serta banyak lagi dalam menganjurkan aktiviti sampingan bagi memeriahkan lagi sambutan program ini.

MIATS 2014 akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi percutian paling mesra di dunia bagi pelancong Muslim seperti yang disenaraikan oleh Crescentrating Travel Consultancy pada tahun 2013. Dalam kajiannya ke atas 50 buah negara, Malaysia menduduki tangga pertama dengan gred yang tinggi iaitu sebanyak 8.3 mata.

Selain mudah untuk mendapat makanan halal, Malaysia juga merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang selain suasana yang selamat.

Jumlah perbelanjaan pelancong Islam juga turut meningkat dengan kadar yang agak tinggi sehingga pada tahun 2020 dianggarkan jumlahnya akan meningkat kepada $192 billion dollar setahun.

MIATS 2014 merupakan salah satu daripada 200 acara yang dianjurkan bagi memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang menyasarkan seramai 28 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM76 bilion.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi YM Raja Munirah Raja Adnan atau YM Raja Azlan Putra Raja Zainal Alam Shah, Tourism Malaysia Selangor di talian 03-5510 9100.

 -TAMAT- 
       
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di
http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada 2013 dan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

 Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use